Monday, March 10, 2008

KEDAH DITAWAN: Apa nasib penggiat seni Kedah Darul Aman?



Oleh kerana bimbangkan keadaan akan panas kalau-kalau ada pihak pembangkang membaca post ini, maka aku padamkan dulu. Hehehehe... Jaga badan beb!

MELAYU MUDAH LUPA 2

Sebenarnya kita sering terlupa
hakikat kedaulatan bangsa
alpa dalam memelihara
keagungan warisan kita
sejarah sememangnya guru
mengajar mengingat kita
bahawa kita pernah agung
bahawa kita pernah tewas
dalam percaturan membina negara bangsa
dan kita tidak pernah mahu belajar dari sejarah.


Hari ini
kita tewas lagi
kerana marahkan nyamuk
kita bakar kelambu dewangga
kita bakar istana paduka
segalanya kini menjadi tunggul-tunggul hitam
ranap lambang kedaulatan bangsa
tercalar daulat yang sekian lama terpelihara
dipangkas oleh tangan-tangan sendiri.


Airmata darahpun enggan mengalir lagi
sebak sendu sudah tidak bererti
kini kita mengulang kembali
cerita lara Pandir dan Kaduk
menang sorak kampung tergadai
kera di hutan disusukan
anak di pangku mati kehausan
Qua Vadis bangsaku.



RUHIE ISMA.
100308

Monday, February 11, 2008

UJIBAKAT : Usaha Faiz Talent Management bersama KUBAS untuk memperjuangkan bakat tempatan

Free Image Hosting
Panel penilai sedang mentertawakan peserta yang memang hampeh!

Pada 8 dan 9 Mac 2008 lalu, satu ujibakat bersama Faiz Talent Management (FTM) telah diadakan di Taman Budaya Negeri Kedah. Ramai bakat-bakat teater yang hadir untuk menyertai ujibakat untuk mencari pelakon bagi menjayakan sebuah drama terbitan ASTRO arahan Afdlin Shauki.

Free Image Hosting
Peserta sedang berbincang

Para penggiat teater negeri Kedah tidak ketinggalan untuk menyertai ujibakat tersebut. Namun saya sedikit hampa kerana ada beberapa aktivis yang tidak menyerlah dalam lakonan layar. Walaupun di pentas mereka gemilang , namun teknik lakonan layar adalah terlalu mencabar bagi mereka. Apapun bukan semua yang tidak layak. Cuma sebilangan.

Free Image Hosting
Orang kuat KUBAS turut membantu

Rasanya jika FTM sering mengadakan sesi ujibakat di Kedah, ramai lagi yang akan turut serta kerana pada tarikh itu ramai yang bercuti di luar Kedah sempena Tahun Baru Cina. Mungkin pada masa hadapan KUBAS dan FTM dapat bekerjasama lagi.

Free Image Hosting
Otai lawak KUBAS turut menghadiri ujibakat.

Tahniah dan jutaan terima kasih kepada FTM kerana menjalankan usaha yang murni untuk memperjuangkan dan menjaga kredibiliti aktivis teater Utara dalam bidang perfileman.

PERISTIWA HITAM KAMAR ILTIZAM

Free Image Hosting

peristiwa hitam kamar iltizam
menggegar jiwa khursani
jadi dendam
jadi rungutan
jadi azam

tatkala luahan rasa
si durjana talam dua muka
segala roboh ibarat WTC
dihentam pesawat gila

dua lembaran kalam berbisa
merungkai ikatan janji
dulu termetri
dulu bersaksi
sumpah sehidup semati

tiga wira puncak gemilang
kini gugur seiring dengan noda
seiring dengan airmata
seiring tepukan sang pendusta

meski yang pergi tak kembali
hari berganti putarannya pasti
tiga wira gugur tersungkur
tiga puluh datang mengganti

kini puncak gemilang
kembali nur iltizam
terukir senyum
terukir kenangan
manisnya berzaman

tiga wira sejarah lapuk
tiga puluh cerita baru
puncak gemilang terus ditawan
jadi kebanggaan persada seniman

Adib Hamsyari
Taman Wira Mergong, 1 Januari 2007.
4.30 pagi

Sunday, February 3, 2008

BLUE DEMON : Pengganti RedMonster?

Setelah melepaskan RedMonster, saya berfikir untuk mencari penggantinya. Persoalannya, apakah 'mesin' yang dapat menggantikan RedMonster yang lebih baik? Adakah hanya setakat Honda CBX 750? Atau Honda Shadow 600? Saya meneliti semula senarai kawan-kawan yang memiliki mesin hebat. Akhirnya saya memilih untuk memiliki satu model yang paling digeruni di dunia. SUZUKI HAYABUSA GSX1300R atau nama yang saya pilih untuknya BLUE DEMON.

Free Image Hosting
Imej sporty yang menggerunkan

BlueDemon dikeluarkan dalam dua kategori : 1) NA atau 2) TURBO. Namun untuk memiliki Hayabusa Turbo bukanlah mudah memandangkan harganya yang mahal dan kos penyelenggaraan yang tinggi. Tapi jika ingin memiliki Hayabusa NA mungkin boleh dicapai. Harga untuk sebuah BlueDemon terpakai di Malaysia adalah RM 70,000.00. Mahal? Rasanya harga sebuah mercedes clk 200 lebih mahal dari itu.

Free Image Hosting
Pandangan hadapan sisi.

jika kita melayari youtube.com, kita akan dapat melihat kuasa hayabusa yang mampu mencapai kelajuan 340kmj dalam masa satu minit. Mengkagumkan! Itu yang membuatkan jiwa saya meronta untuk berusaha memilikinya. Saya terus berjumpa dengan sahabat saya, Mr. Shahrudin di Kelang untuk melihat dari dekat rupa BlueDemon. Nyata saya kagum dengan binaan yang penuh dengan unsur-unsur sport yang saya minati.

Free Image HostingFree Image Hosting
Bahagian ekor belakang menempatkan tool box.

Ramai kawan-kawan yang bertanya. "Mampu ke nak beli?". Memang kalau kita dengar RM70,000.00 adalah satu nilai yang tinggi. Tapi kalau kita punya impian dan berbekalkan usaha yang gigih, rasanya tak mustahil. Bukanlah maksud saya untuk membeli dalam terdekat. Kalau dalam masa lima tahun lagi pun, apa salahnya? Yang penting kita sabar dan berusaha.

Free Image Hosting
Pandangan dari sudut 'jockey'.

Rasanya puas sudah hati ini memiliki motorsikal berkuasa tinggi jika saya mampu memiliki BlueDemon. Saya harap kawan-kawan berdoalah semoga saya berjaya memiliki impin yang satu ini. Banyak lagi impian sebenarnya, tapi dalam keinginan memiliki mtorsikal berkuasa tinggi, inilah matlamat terakhir saya. InsyaAllah.

Saturday, February 2, 2008

PAK BARA, LANGU, THAILAND : Kembara sastera bersama ASASI

Sastera merupakan salah satu cabang kesenian yang kurang mendapat tempat dalam masyarakat Malaysia masa kini. Namun sastera mengandungi elemen-elemen keindahan yang tiada batasannya. Sastera juga memainkan peranan penting dalam kemerdekaan negara dan pembangunan insan. Sastera itu sendiri mengajar manusia tentang kehidupan kita tanpa kita sedari.

Free Image Hosting
Penulis di hadapan La-Ngu Local Museum

Kembara sastera bersama Angkatan Sasterawan Nasional (ASASI) sedikit sebanyak membuka minda kami tentang sastera. Bagaimana perjalanan ASASI dalam membentuk sesebuah karya yang dihasilkan oleh ahli-ahlinya. Kami berkesempatan untuk bersama ASASI ke La-Ngu, Thailand. ASASI merupakan satu badan yang mementingkan kualiti karya ahlinya. Kami membicarakan dua novel baru hasil karya dua ahli ASASI.

Free Image Hosting
Ahli KUBAS bersama ASASI di Pantai Pak Bara, La-Ngu, Thailand

Pada pengamatan kami, ASASI menjalankan satu proses pengawalan mutu yang efisyen. Mereka membicarakan karya di mana penulis akan membentangkan kertas kerja tentang karyanya. Lengkap dengan maklumat dari setiap sudut. Selepas itu, ahli-ahli yang lain akan memberi maklumbalas tentang karya tersebut.

Free Image Hosting
Setiausaha KUBAS turut sama berbicara karya

Pak Bara merupakan sebuah kampung Melayu Thailand yang kaya dengan keindahan pantai dan aktiviti kemasyarakatan setempat. Tanpa kita sedari, wujud satu kumpulan yang masih menjalankan kegiatan kesenian "Ronggeng". Walaupun pembangunan kesenian Melayu di Thailand tidak sepesat Malaysia, kami masih terhibur dengan ronggeng Thailand.

Free Image Hosting
Dari kiri : Jamaludin D, Ruhie Isma dan Pena Berdarah mendeklamasikan sajak.

Ternyata lawatan kami ke La-Ngu, Thailand begitu bermakna dari dua sudut. Pertamanya kami dapat belajar bagaimana membentuk sebuah karya melalui perkongsian pandangan. Dan yang keduanya kami dapat menjalinkan satu lagi hubungan dengan Thailand melalui tourist guide kami yang baik hati (Ana). Nampaknya KUBAS bakal menjejakkan kaki kali kedua di La-Ngu.

Free Image Hosting
Penulis bergambar kenangan di Pantai Pak Bara

PANTAI LANGU MEREMBAS GELOMBANG


Aku datang lagi buat kesekian kalinya
dalam kembara sastera
alam Satun menyambut hadirku
dengan ramah pawana dan rintik-rintik gerimis .


Bertamu di Diaman Bara
Pantai Langu merembas gelombang Pulau Seri Negeri
salam dari pulau Mahsuri
terdampar ke sini.


Malam di Langu bersantai joget dan ronggeng
irama warisan direnda gerak lenggok penari jelita
peraga pusaka bangsaku
yang terpinggir di sini.


Antara joget dan ronggeng
disulam puisi-puisi berbara menghangat malam
Jamaluddin D Pena Berdarah dan Ruhie
tiga ASASI membakar rimba malam .


Sampai ketemu lagi Langu
ku pamit lembut lautmu
ku pamit hijau gunungmu
ku pamit cerlang langitmu
ku pamit ramah wargamu
ku pamit senyum mulusmu
ku pamit segalanya di sini.





RUHIE ISMA
Teluk Langu
Satun Thailand
020208

Thursday, January 31, 2008

BSA 800 SK THE RED MONSTER: Satu kenangan begitu indah

Photobucket

Ramai yang tertanya-tanya, apakah yang aku maksudkan dengan RedMonster? Kali ini aku paparkan apakah dia RedMonster. Yang aku sayang. Yang aku jaga ibarat menatang minyak yang penuh.

Photobucket

Petang tadi Inspektor Azhar telefon aku dan menyatakan hasrat seorang sahabatnya untuk memiliki RedMonster. Hati aku tersentak. Biar betul dia ni? Aku dan RedMonster ibarat satu. Bila kami bersama, semua mata tertumpu ke arah kami. Memang serasi. Aku rasa mungkin jodoh aku dengan RedMonster hanya setakat ini. Tak kisahlah.

Setelah perbincangan berlaku, aku bersetuju melepaskan RedMonster dengan harga yang munasabah. Berapa? Jangan ditanya! Memang berpatutan. Aku pakejkan sekali dengan helmet MHR kesayangan aku. Pergh!!! Sayang gila kat helmet tu!!! Bukan senang nak dapat. Tak mengapalah. Janji aku dah merasa nikmatnya ambil selekoh dengan kelajuan 120kmj kat Batu Ferringhi.

Photobucket

Nazri pun dah jual BlackDevilnya. VTEC tuh! Dia ada perancangan nak pakai easy rider pulak. Aku? Masih memikirkan. Rasanya CBX 750 kot? Entahlah? Mirage Cyborg aku pun dah lama demam. Rasanya kalau aku gunakan sikit duit hasil RedMonster, dapatlah aku ubatkan demam RedCyborg aku plak.

Apa pun, terima kasih RedMonster! Banyak yang kit lalui bersama. Ada jodoh, kita berjumpa lagi. Jasamu dikenang.

Wednesday, January 30, 2008

PENTAS OPERA : Kematangan KUBAS dalam memilih naskhah

Photobucket
Para pelakon Pentas Opera

Kumpulan teater amatur di Malaysia seringkali memilih naskhah yang agak ringan untuk dibawa ke atas pentas. Bukan kerana tidak mampu, tapi kekurangan simpanan naskhah (bank skrip) untuk dinilai. Terjadilah pengulangan teater kerusi, mayat, penunggu pusaka, pasrah dan beberapa skrip yang begitu kita kenali.

Free Image Hosting
Noor Mazieyane Mazlan sebagai Rubi

KEKKWA telah mengambil satu langkah yang tepat di dalam konteks Festival Teater Malaysia apabila melarang penggunaan skrip yang telah menjadi johan Festival Teater. Dengan ini, kuranglah pengulangan penggunaan skrip dan peniruan semula idea yang lalu. Secara tidak langsung membuatkan kumpulan-kumpulan teater seluruh negara berusaha lebih sama ada mencari naskhah yang bermutu untuk diangkat atau mewujudkan naskhah-naskhah baru mengikut peredaran zaman dan peradaban manusia itu sendiri.

Free Image Hosting
Ismadi Ismail sebagai Nasarudin Syah

KUBAS juga mengalami dilema yang sama apabila tidak mempunyai bank skrip. Sayang sekali apabila skrip-skrip yang pernah dipentaskan KUBAS juga merupakan skrip favourite penggiat teater seluruh Malaysia. Maka terpaksalah KUBAS mewujudkan beberapa skrip sendiri seperti Hujan Gerimis (adaptasi dari skrip Allahyarham Affrini Adham), Puteri Saerah (1 & 2), Al-Kisah (1-3), Pelaris Pak Lang dan banyak lagi.

Free Image Hosting
Mohamad Shakir menyerlah sebagai Osman Bombay

Mujurlah KUBAS memiliki panel skripnya sendiri yang terdiri dari Ruhie Isma, Adib Hamsyari, Rohizam Noor, Aznida Nur, Halim Yaacob dan Farizal Abdul Rahman. Mereka inilah yang membantu dalam penghasilan dan memperhalusi skrip yang ditulis oleh ahli-ahli KUBAS sendiri.
Free Image Hosting
Ina, pendatang baru yang menyengat dalam KUBAS

KUBAS juga sering meminta bantuan dari sahabat-sahabat KUBAS di ASWARA, UiTM dan Universiti Al-Azhar, Mesir. Maka dapatlah KUBAS menambah tiga lagi naskhah dalam simpanan iaitu PENTAS OPERA, LAWYER DAHALAN dan SALEHUDDIN AL-AYUBBI. Buat permulaan, KUBAS mencuba PENTAS OPERA karya Zakaria Ariffin. Terima kasih kepada Mohd Hairi Safwan (ASWARA), Mazlan Tomato (ASWARA) dan Al-Ustaz Fadzil (AL-AZHAR) di atas sumbangan skrip-skrip tersebut.

PENTAS OPERA menguji kemampuan KUBAS dari segi pemain dan set. Apatah lagi pengarahannya yang perlu penelitian yang tinggi. Adib Hamsyari benar-benar tercabar apabila beliau dibekalkan dengan pemain-pemain yang 90% baru dalam teater. Bayangkan setiap malam beliau seperti seorang Sarjan Mejar tentera. Terpekik terlolong memberi arahan. Sehinggalah pada satu hari temperature beliau memuncak dan akhirnya meletup! Barulah segalanya berjalan dengan lancar.

PENTAS OPERA dipentaskan sehari sebelum pementasan KAIN BENDERA KAIN di taman Budaya Negeri Kedah Darul Aman. Sambutan penonton yang hadir amat memuaskan memandangkan naskhah ini terlalu jarang dipentaskan di Kedah Darul Aman.

KAIN BENDERA KAIN : Kearah perantisan teater kanak-kanak Kedah Darul Aman

Photobucket
Tenaga produksi dan peserta Bengkel Latihan Teater Hujung Tahun 2008 KUBAS

Dunia teater kanak-kanak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur era ini boleh dibanggakan dengan beberapa pementasan. Tahniah kepada En. Zaifri Husain yang berjaya mengangkat beberapa naskhah seperti Belalang Kenit dan Aladin dengan jayanya. Tidak lupa juga kepada Pak ladin Nuawi kita yang sering menimbulkan kekaguman dengan anak-anak didiknya.

Tapi adakah kita tahu bahawa di Kedah Darul Aman juga terdapat sebuah kumpulan kanak-kanak yang telah mementaskan beberapa karya seperti bangsawan Istana Inderapura, bangsawan Puteri Lesung Emas dan yang terkini sebuah teater karya Ladin Nuawi : Kain Bendera Kain.

Photobucket
Korus dijelmakan dalam bentuk tumbuhan

Kesungguhan kanak-kanak yang boleh kita kategorikan sebagai unsung heroes ini menyentuh sanubari kami. Terkenang kami semasa zaman permulaan kami dalam teater. Yang paling menarik ialah apabila kanak-kanak ini mencipta set dan props mereka sendiri, memilih kostium mereka sendiri dan mencari watak mereka sendiri. Bantuan dari jurulatih adalah pada kadar minimum.

Free Image Hosting
Mohd Izzam Zalghafari mencuit hati penonton dengan telatahnya

Sedar atau tidak ada di antara kanak-kanak ini adalah hasil dari Program Bengkel Latihan Teater Hujung Tahun anjuran KUBAS. Kali ketiga mereka menghadiri program kali ini, jelas kelihatan peningkatan prestasi mereka dari tahun-tahun sebelumnya. Tahniah dan terima kasih kepada Rohizam Noor, Aznida Nur Azizan, Dzull Affendy Ishak dan paling istimewa Nor Ashikin Sulaiman (stage manager baru) yang bertindak sebagai tenaga pengajar KUBAS. Memandangkan program kali ketiga ini melihatkan peningkatan penyertaan sebanyak 100% , KUBAS merancang untuk menghadkan kuota peserta pada tahun ini (2008).

DAH KATA DAH : Percubaan KUBAS dalam dunia pembikinan video

Photobucket

Industri penerbitan video di Malaysia sekarang ini sedang menuju kearah satu revolusi baru. Dahulunya kalau kita pasti, video-video terbitan tempatan memang 'hampas' dan melemaskan. Adegan, dialog, cinematografi, penataan cahaya dan audio memang tidak menepati selera kita sebagai penonton sedangkan pembikinan video itu tinggi kosnya.

Sekarang kita sudah mula dihidangkan dengan video-video yang lebih banyak mengandungi ideologi masyarakat Malaysia. Cerita seperti gitar tua, momok, kelibat, suwa suwe kemuning, aku kaya dan banyak lagi kisah yang membuka minda pemikiran rakyat Malaysia. Mungkin ada yang minat dan ada yang tidak.

KUBAS juga sekarang ini sudah berjinak-jinak dengan pembikinan video melalui filem pendek DAH KATA DAH. Hasilnya mungkin tidak begitu menarik (dari sudut naskhah) memandangkan pembikinannya hanya memakan masa dua hari. Belanjanya cuma RM 2,000.00. Tanpa sebutir lampu digunakan. Hanya teknik polysterine sebagai reflector untuk menghasilkan kesan cahaya. Tiada mikrofon (boom) digunakan. Memadai dengan built in mic pada camera.

Photobucket
Zaharina Ahmad (PESARI) sebagai ibu

Dengan menggunakan teknologi keluaran Adobe dan Sonic Foundry, nyata ada sesuatu di dalam DAH KATA DAH. Malah ia mengundang kritikan dari beberapa dramatis dan penerbit video tempatan. Pernah juga KUBAS dijemput untuk menyertai Festival Filem Pendek di UKM. namun rasanya DAH KATA DAH bukan tandingan bagi pembikin filem pendek yang sudah lama bertapak.

Photobucket
Muix Metalasia turut serta

Apa pun tahniah diucapkan kepada KUBAS kerana berani mencuba sesuatu yang baru. Teruskan usaha untuk mencari lagi teknik penggambaran yang baik.

PANGKOR 2006 : merencana antologi puisi terbitan KUBAS

KUBAS sekali lagi mengadakan percutian berkumpulan. Kali ini di Teluk Nipah, Pulau Pangkor. Aktiviti utama kali ini bertumpu kepada penulisan kreatif. Dan yang paling menarik sekali; percutian kedua ini free of charge! Yahooo!

Photobucket
Perjalanan ke Pangkor mengambil masa 30 minit dengan menaiki feri

Setiba kami di Pangkor, tiada apa yang dapat menarik perhatian kami. Cuma kampung nelayan yang tak ubah seperti Kuala Kedah dan Kuala Perlis. Perjalanan menaiki van melalui persisiran pantai yang sama seperti Langkawi.

Setibanya kami di tempat penginapan, kami sedikit tertarik dengan pantai yang cantik sedikit dari Pantai Merdeka. Ada sesuatu yang berbeza di sini. Sewakt kami berjalan kaki menuju ke penginapan dari persimpangan kedai makan di situ, ada beberapa ekor burung enggang! Di sini juga ada burung enggang? Jinak-jinak belaka. Kami sempat memberi makan kepada burung-burung itu.

Esoknya kami dihidangkan dengan aktiviti pantai. Kami mencuba acara snorkling. Sesungguhnya nikmatnya tak terkata. Ibarat teh tarik yang paling sedap dihidangkan oleh mamak Yasmeen. Kami dikerumuni oleh ribuan ikan pelbagai saiz, termasuk ikan bayan yang gemuk-gemuk belaka.

Photobucket
Para karyawan puteri KUBAS

Pada sebelah petang, sukaneka yang melibatkan semua peringkat umur menarik perhatian setiap pengunjung yang melintasi kami. Ada beberapa pelancong luar yang seakan-akan ingin turut serta dalam sukaneka itu. Tapi mereka hanya ketawa berdekah-dekah melihat kerenah ahli-ahli KUBAS yang veteran iaitu Pak Lang Bakar dan Ruhie Isma yang berusaha menandingi peserta-peserta muda. Akhir sekali kami menerima tepukan gemuruh dari pelancong-pelancong luar yang setia menunggu dan menonton sukaneka kami pada petang itu.

Pada sebelah malam pula, seperti biasa sesi barbeque diadakan. Sambil itu kami berkaraoke sambil diselang-seli dengan puisi yang ditulis oleh para peserta. Mereka dikehendaki menyiapkan beberapa puisi semasa hari pertama kami sampai lagi. Hasilnya, sangat menakjubkan. Ada peserta yang baru berjinak dalam puisi rupanya berbakat besar tanpa disedarinya.

Percutian kali ini bagi kami sangat bermakna. Lebih lagi apabila bersama dengan KUBAS. Puisi karya Md Noq (rumah ini) sangat mendalam ertinya. Fahamlah kami tentang perjuangan KUBAS selama ini. Terima kasih KUBAS.

PERCUTIAN BERKUMPULAN : Sejauh manakah kemampuan persatuan?

Photobucket
photo courtesy of : doone (kubas.fotopages.com)

Percutian memang menyeronokkan. Apatah lagi bila bercuti beramai-ramai bersama sahabat handai dan lebih menarik lagi ahli-ahli persatuan kita sendiri. Lebih ramai, lebih menarik. Tambahan pula destinasi percutian merupakan tempat peranginan kelas satu atau kelas dua. Lengkap dengan prasarana seperti kolam renang, pantai, tasik, air terjun, sungai, barbeque spot, karaoke, bilik hotel yang first class dan senario yang menarik untuk bergambar.

Free Image Hosting
Senario matahri terbenam dari jendela chalet

Tak kurang juga yang memilih style perkhemahan. Destinasi pilihan adalah gunung-ganang, bukit-bukau, hutan tropika dan ada juga halaman rumah kengkawan. Tak kisahlah. Janji camping.

Satu masa dulu kami diberi kesempatan untuk bercuti bersama KUBAS di Anjung Pedu Lake Resort. Mulanya malas juga nak turut serta kerana KUBAS akan mengadakan mesyuarat agung mereka semasa percutian itu. Tap memandangkan mereka cuma mengenakan caj bayaran sebanyak RM 15.00, kami bersetuju.

Free Image Hosting
Pengerusi dan bendahari sedang merenung nasib diri.

Ada dua tiga orang ahli AKRAB dan Badan Kesenian Negeri Kedah turut serta. Ada unsur positif yang ditunjukkan oleh KUBAS dengan menjemput beberapa persatuan lain menyertai percutian anjuran mereka. Sekurangnya dapat merapatkan hubungan silaturrahim antara penggiat seni.

Free Image Hosting
Antara shot terbaik dari penulis

Program yang diadakan oleh KUBAS agak menarik. Setibanya kami di lokasi, minuman selamat datang sudah menanti. Tidak lama selepas kami check in ke dalam bilik, makan tengahari pun tersedia. Menunya, wow! Sedap giler! Selepas makan tengahari, KUBAS memulakan mesyuarat agungnya dan kami terus berkubang di dalam kolam renang.

Free Image Hosting
Ahli dan bekas ahli KUBAS selepas mesyuarat agung

Pada sebelah malamnya, acara barbeque. Makanan banyak ayam, daging, ikan macam jenis, kentang bakar, salad, macam-macam ada! Habis makan acara karaoke sampai pukul 2 pagi. Nyanyi sakan sampai ada hilang suara. Puas giler!! Ada juga yang gile mic.

Besok paginya diadakan acara sukaneka. Kami dibahagi kepada 3 kumpulan. Semua wajib serta tak kira tua muda. Yang paling best main bola baling dalam air. Teruk juga nak berlari dalam kolam renang. Yang mana kecil tu habis le kena buli je dengan yang besar.

Apa pun percutian ini memang menyeronokkan, puas dan letih. Terima kasih kepada KUBAS. Ternyata KUBAS mampu mengadakan program percutian bertaraf high class. Inilah yang seharus dicontohi oleh semua NGO tidak kira dalam bidang kesenian ataupun bidang lain. Persatuan harus memainkan peranan penting dalam mengekalkan ahli dan dalam masa yang sama membuatkan ahli merasa sayang kepada persatuan. Tabik kepada saudara Farizal (bendahari KUBAS) kerana menguruskan kewangan KUBAS dengan begitu baik hingga tidak perlu untuk mengutip yuran penyertaan yang terlalu tinggi untuk kami menyertai percutian KUBAS.

Tuesday, January 29, 2008

SANTAI PUISI : Kerjasama Erat KUBAS & ASASI

Photobucket
RUHIE ISMA
Photo courtesy of : doone (kubas.fotopages.com)

Sastera di Kedah Darul Aman berkait rapat dengan kemerdekaan. Puisi-puisi karya Allahyam Pak Affrini Adham banyak menyentuh tentang perjuangan kemerdekaan terutama dalam karya agungnya "Malaya Pasti Merdeka". Ramai lagi penulis terkenal Kedah Darul Aman yang menyambung perjuangan Allahyarham Pak Affrini sehingga kini.

Tapi adakah generasi kini menghayati erti perjuangan melalui sastera?

Bagi mereka sastera = sajak
sajak = mamat ni sahih dah hisap dadah!
gurindam = lapuk sangat la...
pantun = nak masuk meminang ke ni?
syair = bosan.........................

Free Image Hosting
Hadi Maji mengalunkan nada yang asyik

Generasi kini terlalu sukar untuk menerima sastera di dalam kehidupan mereka. Kenapa begitu? Adakah benar tanggapan mereka terhadap sastera. Atau kita sendiri yang leka atau 'syok sendiri' dalam usaha menarik minat mereka terhadap sastera.

Program Khidmat Latihan Negara telah mewujudkan satu modul iaitu Modul Penghayatan Sastera Dan Budaya (PPSB) dengan kerjasama Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP). Kami merupakan antara tenaga pengajar yang bertungkus lumus untuk menjayakan hasrat murni PPSB. Tapi alangkah terkejutnya kami apabila kami dapati pelatih-pelatih lebih berminat kepada aspek budaya dari aspek sastera. Sedangkan kami harus menekankan elemen sastera sebagai teras program.

Photobucket
Antara tunggak KUBAS

Pada mulanya kami di beri masa enam hari untuk mengajar modul PPSB. Lama-kelamaan tinggal tiga hari. Aduh! Perit! Tiga hari untuk melahirkan insan yang cintakan sastera. Mission Imposible!

Pada tahun lepas, kami dijemput menyertai program Santai Puisi anjuran bersama KUBAS dan ASASI. Program ini diadakan setiap sabtu minggu pertama setiap bulan pada sebelah malam bertempat di Taman Budaya Negeri Kedah. Apa yang kami dapati, KUBAS dan ASASI berjaya membentuk remaja yang cintakan sastera. Mereka pandai berdeklamasi. Mereka pandai berpantun. Mereka pandai bergurindam. Mereka pandai seloka dan yang paling menarik, mereka jujur melakukannya.

Photobucket
Tuan presiden KUBAS agak tertekan apabila teh ais yang dipesan belum kelihatan

Persembahan dari kumpulan AKUSTIKA KUBAS sangat menarik perhatian kami. Amat sukar untuk kita cari remaja yang mahir dalam penciptaan lagu dan lirik lagu puisi. Gabungan suara harmoni mereka memukau hadirin pada malam itu.

Amat membanggakan juga, program secara santai ini berjaya menarik minat sasterawan terkenal tempatan seperti Puzi Hadi, Zaidin Abadi, Brirasa, Jamaludin D, Halim Yaakob, Pena Berdarah dan ramai lagi. Nampaknya usaha Ruhie Isma beserta ASASI dan KUBAS berhasil.

Pada tahun 2008 pula KUBAS bercadang untuk meluaskan skop program. Dari santai puisi ke Santai Sastera. Maka banyak lagi pengisian akan dimuatkan di dalam program. Saya rasa ini satu percubaan yang menarik; jika berjaya!

MEK MULUNG : Apa kesudahannya?

Photobucket
photo courtesy of: anjang (tukangklik.fotopages.com)

Mek Mulung. Satu bentuk teater tradisional Kedah Darul Aman. Namun ramai warga Kedah Darul Aman sendiri tidak mengenali apa itu Mek Mulung. Asal-usulnya dan keindahan yang terdapat di dalamnya.

Mek Mulung berasal dari Legor, Siam. Dibawa masuk ke tanah Kedah oleh empat pengamalnya. Dar satu kampung (tidak pasti namanya) hingga ke satu kawasan belukar yang diteroka oleh mereka sendiri; Hutan Mulung. Dipercayai dari situlah diperolehi nama Mek Mulung.

Saya sempat bercakap sendiri dengan Abang Mat, seorang pengamal kesenian Mek Mulung yang boleh dikatakan waris terakhir. Cerita Abang Mat tentang hikayat-hikayat yang terdapat di dalam permainan Mek Mulung sangat menarik perhatian saya. Kenapa semua ini tidak diketengahkan semula? Lebih ironisnya lagi apabila Abang Mat menyatakan bahawa dari lebih kurang dua puluh hikayat, yang dapat diingatnya cuma empat. Ah! Sayang sekali.

Kini kita boleh tersenyum lega sedikit kerana dari usaha Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara mewujudkan program perantisan Mek Mulung, maka terhasillah satu kumpulan pelapis Mek Mulung. Walaupun cuma bermain 'kulitnya' sahaja, mereka mampu menghidangkan satu konsep persembahan Mek Mulung yang mampu menarik minat penonton masa kini.

Namun jika kita lihat dengan teliti, tertib permainan Mek Mulung itu harus diberi keutamaan. Walaupun watak "Awang Pengasuh" dibawa oleh Adzaham Hamidon (Ed Kota), seorang pelakon teater dan drama yang tak asing lagi di tanahair, ada sedikit unsur keterlaluan di dalam permainannya. Ada unsur atau keinginan untuk 'overshadow' watak yang lain. Mangsanya sudah tentu watak "Wak Nujum Wak Raja" yang dijayakan oleh Wan Suhairi Wan Senu.

Kumpulan muzik pelapis atau perantis Mek Mulung ini boleh dibanggakan. Walaupun dari dua kumpulan yang sedang dingin dalam perjuangan teater, mereka dapat berkomunikasi dan mewujudkan satu 'musical environment' yang menarik.

Persoalan kini, kenapa terlalu jarang kumpulan perantisan Mek Mulung ini dibawa keluar untuk mengadakan persembahan? Sedangkan kini dunia seni persembahan Malaysia sedang berbangga dengan kumpulan Kesenian Petronas yang mempersembahkan satu kesenian yang bukan dari tempat asal mereka. Apa yang sedang kita lakukan pada khazanah kesenian negeri Kedah yang kita sayangi ini?

Pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah perlu mengangkat kesenian ini lebih tinggi tarafnya. Harus diingat, Mak Yong telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai satu khazanah kesenian negara. Sedangkan kita sendiri tahu Mek Mulung tidak kurang malah jauh lebih menarik dari Mak Yong. Kumpulan Kesenian Petronas sendiri pernah menyatakan bahawa mereka lebih menggemari permainan Mek Mulung dari Mak Yong berikutan kepelbagaian gerak, muzik, lakon dan ceritanya.

Kita semua selaku pengamal seni budaya negeri Kedah khususnya dan Malaysia amnya harus menyokong dari apa jua aspek untuk mengembalikan kegemilangan sebuah kesenian yang selama ini tertinggal jauh di belakang. Sedarilah. Hanya satu sahaja kumpulan Mek Mulung yang terdapat di dunia ini. Sanggupkah kita kehilangan satu kesenian yang kemungkinan besar akan diiktiraf sebagai khazanah seni negara, setaraf dengan Mak Yong dan kesenian sedunia yang lain?

TEATER KELILING "PUTERI SAERAH"

Photobucket
photo courtesy of : Ardilla Annisa (Puteri Saerah)

Baru-baru ini, KREATIF UTAMA BUDAYA ANAK SENI (KUBAS) telah mengadakan siri persembahan di Kedah dan Terengganu. Membawa naskah "PUTERI SAERAH" karya Ruhie Isma bukanlah tugas mudah bagi Aznida Nur Azizan memandangkan hampir 90% pemain dan tenaga produksi adalah pendatang baru hasil dari Bengkel Latihan Hujung Tahun: Asas Lakonan Teater Tahun 2005.

Siri persembahan bermula di Taman Budaya Negeri Kedah pada tahun 2005. KUBAS tidak banyak masalah memandangkan tenaga pemain dan teknikal terdiri dari orang-orang lama KUBAS. Siri ke 2 bertempat di Dewan Tunku, Kuala Nerang dengan menampilkan barisan muka baru dalam produksi dan siri ke 3 di Taman Budaya Negeri Terengganu.

Sebelum ke Terengganu, KUBAS merancang untuk mengadakan dua persembahan berbeza oleh kerana Ruhie Isma telah menyiapkan sambungan kisah Puteri Saerah sebelumnya. Namun akibat kesuntukan masa dan kekurangan tenaga pemain, panel skrip KUBAS telah mengambil keputusan untuk menggabungkan kedua-dua skrip menjadi satu. Hasilnya amat memuaskan.

Encik Chua Tek Luwi telah membuat kenyataan peribadi kepada penggiat seni di Kedah bahawa KUBAS telah menampilkan sesuatu yang baru dalam persembahan di Kedah. Penataan cahaya, susunan lagu, koreografi gerak tari ( terima kasih Kak Ram KKJ Kedah), kostium dan set berjaya diadun menjadi satu konsep persembahan yang santai tapi menarik.

Beberapa aktivis teater Terengganu turut menyumbang tenaga sebagai pelakon jemputan KUBAS. Walaupun dalam masa yang singkat, Pelakon Terbaik Festival Teater Terengganu 2005 (lupa namanya) mampu membawa watak yang diberikan dengan sebaik mungkin. Terima kasih daun keladi dari Kedah Darul Aman.

Tahun 2008 ini mungkin akan menyaksikan beberapa siri persembahan dari KUBAS. Ada khabar-khabar angin mengatakan KUBAS dalam perancangan untuk mengadakan satu projek perdana pada tahun ini. InsyaAllah. Semoga perancangan kalian berjaya.

BANGSAWAN SERI KEDAH: Bermulanya era baru

Photobucket
Rubiati Adawiyah sebagai Nyak Ruyuh dan Shamsudin Che Pak sebagai Panglima Hamid
photo courtesy of : doone (kubas.fotopages.com)

Persatuan Bangsawan Seri Kedah (PBSK) di bawah pimpinan Morad Ibrahim (Pak Morad) sebelum ini telah mementaskan "Sumpah Dan Darah Di Teluk Amboi" karya dan arahan Pak Morad sendiri. Seperti mana yang kita tahu, produksi ini menampilkan 4 orang artis Kuala Lumpur : Rubbiati Adawiyah (Yaya), Ani Mayuni dan Z. Zamri (Gerak Khas) dan Rina Tan.

Sekali lagi PBSK akan mengadakan pementasan. Kali ini, naskah "Terung Pipit" juga karya dan arahan Pak Morad akan mewarnai pementasan teater di negeri Kedah Darul Aman. Kali ini produksi TP akan menampilkan 7 orang artis Kuala Lumpur termasuk Serena Redzuawan.

Free Image Hosting
Adegan persilatan antara Nyak Ruyuh dan Panglima Hamid

Sebagai seorang peminat pentas teater dan bangsawan di Kedah Darul Aman, saya dapat melihat satu anjakan paradigma yang dilakukan oleh PBSK apabila mendapatkan khidmat pelakon-pelakon profesional untuk menyerikan lagi siri pementasan PBSK. Maka dapatlah para pelakon asal PBSK menimba sedikit pengalaman dan pengetahuan dari mereka.

Free Image Hosting
Asrul Aswar bertindak cemerlang sebagai Tengku Laksamana Jiwa

Persoalan yang timbul di kepala saya ketika ini ialah di mana bakat-bakat tempatan yang bertaraf profesional? PBSK sering menengahkan; maksud saya yang lebih tepat 'cuba' menengahkan pemain yang ibarat "buluh tua". Sudah tidak boleh dilentur lagi. Bukan tak ada yang berbakat. Ada. Malahan ada yang sudah berani mencuba lakonan teater! Tahap lakonannya boleh tahan. Tak teruk sangat. Cuma boleh diperbaiki lagi. Syabas!

Free Image Hosting
Ani Mayuni sebagai Indah Kesuma

Andaikata PBSK menampilkan pelakon-pelakon yang berkebolehan seperti A. Zainol, Nordin Ahmad, Zaharina Ahmad, Aznida Nur Azizan, Saiful Azwan, Hairi Safwan, Wan Suhairi, Haslini Ishak, Muix Metalasia dan ramai lagi; digabungkan dengan pelakon-pelakon profesional seperti yang tersebut di atas, maka impaknya akan lebih mendalam di mata penonton. Tidaklah penonton melihat pelakon-pelakon yang terkinja-kinja tidak tahu memperkayakan glosari teknik lakonan sepanjang karier mereka yang bergelar anak wayang.

Kita semua tahu, Morad Ibrahim adalah satu nama yang besar dalam persada bangsawan Malaysia. Kita pernah menonton persembahan bangsawan Seri Anggerik dari Singapura. Memang bangsawan, tapi ada kekurangan enaknya dalam permainan mereka apabila kehendak pengarahnya (maaf Encik Johari) yang terlalu tinggi hingga menyebabkan persembahan menjadi mekanis.

Adakah Pak Morad akan sedikit tergelincir dari landasan bangsawan ekoran dari beberapa pemain yang kurang berpengalaman diberi watak yang agak berat. Tidak terfikirkah beliau bahawa akan sedikit tercalar nama pelakon-pelakon profesional jemputan, nama PBSK, nama Pak Morad sendiri malahan nama bangsawan itu jua.

Saranan saya semoga kita fikirkan permasalahan ini bersama.