Tuesday, January 29, 2008

BANGSAWAN SERI KEDAH: Bermulanya era baru

Photobucket
Rubiati Adawiyah sebagai Nyak Ruyuh dan Shamsudin Che Pak sebagai Panglima Hamid
photo courtesy of : doone (kubas.fotopages.com)

Persatuan Bangsawan Seri Kedah (PBSK) di bawah pimpinan Morad Ibrahim (Pak Morad) sebelum ini telah mementaskan "Sumpah Dan Darah Di Teluk Amboi" karya dan arahan Pak Morad sendiri. Seperti mana yang kita tahu, produksi ini menampilkan 4 orang artis Kuala Lumpur : Rubbiati Adawiyah (Yaya), Ani Mayuni dan Z. Zamri (Gerak Khas) dan Rina Tan.

Sekali lagi PBSK akan mengadakan pementasan. Kali ini, naskah "Terung Pipit" juga karya dan arahan Pak Morad akan mewarnai pementasan teater di negeri Kedah Darul Aman. Kali ini produksi TP akan menampilkan 7 orang artis Kuala Lumpur termasuk Serena Redzuawan.

Free Image Hosting
Adegan persilatan antara Nyak Ruyuh dan Panglima Hamid

Sebagai seorang peminat pentas teater dan bangsawan di Kedah Darul Aman, saya dapat melihat satu anjakan paradigma yang dilakukan oleh PBSK apabila mendapatkan khidmat pelakon-pelakon profesional untuk menyerikan lagi siri pementasan PBSK. Maka dapatlah para pelakon asal PBSK menimba sedikit pengalaman dan pengetahuan dari mereka.

Free Image Hosting
Asrul Aswar bertindak cemerlang sebagai Tengku Laksamana Jiwa

Persoalan yang timbul di kepala saya ketika ini ialah di mana bakat-bakat tempatan yang bertaraf profesional? PBSK sering menengahkan; maksud saya yang lebih tepat 'cuba' menengahkan pemain yang ibarat "buluh tua". Sudah tidak boleh dilentur lagi. Bukan tak ada yang berbakat. Ada. Malahan ada yang sudah berani mencuba lakonan teater! Tahap lakonannya boleh tahan. Tak teruk sangat. Cuma boleh diperbaiki lagi. Syabas!

Free Image Hosting
Ani Mayuni sebagai Indah Kesuma

Andaikata PBSK menampilkan pelakon-pelakon yang berkebolehan seperti A. Zainol, Nordin Ahmad, Zaharina Ahmad, Aznida Nur Azizan, Saiful Azwan, Hairi Safwan, Wan Suhairi, Haslini Ishak, Muix Metalasia dan ramai lagi; digabungkan dengan pelakon-pelakon profesional seperti yang tersebut di atas, maka impaknya akan lebih mendalam di mata penonton. Tidaklah penonton melihat pelakon-pelakon yang terkinja-kinja tidak tahu memperkayakan glosari teknik lakonan sepanjang karier mereka yang bergelar anak wayang.

Kita semua tahu, Morad Ibrahim adalah satu nama yang besar dalam persada bangsawan Malaysia. Kita pernah menonton persembahan bangsawan Seri Anggerik dari Singapura. Memang bangsawan, tapi ada kekurangan enaknya dalam permainan mereka apabila kehendak pengarahnya (maaf Encik Johari) yang terlalu tinggi hingga menyebabkan persembahan menjadi mekanis.

Adakah Pak Morad akan sedikit tergelincir dari landasan bangsawan ekoran dari beberapa pemain yang kurang berpengalaman diberi watak yang agak berat. Tidak terfikirkah beliau bahawa akan sedikit tercalar nama pelakon-pelakon profesional jemputan, nama PBSK, nama Pak Morad sendiri malahan nama bangsawan itu jua.

Saranan saya semoga kita fikirkan permasalahan ini bersama.

No comments: