Tuesday, January 29, 2008

MEK MULUNG : Apa kesudahannya?

Photobucket
photo courtesy of: anjang (tukangklik.fotopages.com)

Mek Mulung. Satu bentuk teater tradisional Kedah Darul Aman. Namun ramai warga Kedah Darul Aman sendiri tidak mengenali apa itu Mek Mulung. Asal-usulnya dan keindahan yang terdapat di dalamnya.

Mek Mulung berasal dari Legor, Siam. Dibawa masuk ke tanah Kedah oleh empat pengamalnya. Dar satu kampung (tidak pasti namanya) hingga ke satu kawasan belukar yang diteroka oleh mereka sendiri; Hutan Mulung. Dipercayai dari situlah diperolehi nama Mek Mulung.

Saya sempat bercakap sendiri dengan Abang Mat, seorang pengamal kesenian Mek Mulung yang boleh dikatakan waris terakhir. Cerita Abang Mat tentang hikayat-hikayat yang terdapat di dalam permainan Mek Mulung sangat menarik perhatian saya. Kenapa semua ini tidak diketengahkan semula? Lebih ironisnya lagi apabila Abang Mat menyatakan bahawa dari lebih kurang dua puluh hikayat, yang dapat diingatnya cuma empat. Ah! Sayang sekali.

Kini kita boleh tersenyum lega sedikit kerana dari usaha Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara mewujudkan program perantisan Mek Mulung, maka terhasillah satu kumpulan pelapis Mek Mulung. Walaupun cuma bermain 'kulitnya' sahaja, mereka mampu menghidangkan satu konsep persembahan Mek Mulung yang mampu menarik minat penonton masa kini.

Namun jika kita lihat dengan teliti, tertib permainan Mek Mulung itu harus diberi keutamaan. Walaupun watak "Awang Pengasuh" dibawa oleh Adzaham Hamidon (Ed Kota), seorang pelakon teater dan drama yang tak asing lagi di tanahair, ada sedikit unsur keterlaluan di dalam permainannya. Ada unsur atau keinginan untuk 'overshadow' watak yang lain. Mangsanya sudah tentu watak "Wak Nujum Wak Raja" yang dijayakan oleh Wan Suhairi Wan Senu.

Kumpulan muzik pelapis atau perantis Mek Mulung ini boleh dibanggakan. Walaupun dari dua kumpulan yang sedang dingin dalam perjuangan teater, mereka dapat berkomunikasi dan mewujudkan satu 'musical environment' yang menarik.

Persoalan kini, kenapa terlalu jarang kumpulan perantisan Mek Mulung ini dibawa keluar untuk mengadakan persembahan? Sedangkan kini dunia seni persembahan Malaysia sedang berbangga dengan kumpulan Kesenian Petronas yang mempersembahkan satu kesenian yang bukan dari tempat asal mereka. Apa yang sedang kita lakukan pada khazanah kesenian negeri Kedah yang kita sayangi ini?

Pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah perlu mengangkat kesenian ini lebih tinggi tarafnya. Harus diingat, Mak Yong telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai satu khazanah kesenian negara. Sedangkan kita sendiri tahu Mek Mulung tidak kurang malah jauh lebih menarik dari Mak Yong. Kumpulan Kesenian Petronas sendiri pernah menyatakan bahawa mereka lebih menggemari permainan Mek Mulung dari Mak Yong berikutan kepelbagaian gerak, muzik, lakon dan ceritanya.

Kita semua selaku pengamal seni budaya negeri Kedah khususnya dan Malaysia amnya harus menyokong dari apa jua aspek untuk mengembalikan kegemilangan sebuah kesenian yang selama ini tertinggal jauh di belakang. Sedarilah. Hanya satu sahaja kumpulan Mek Mulung yang terdapat di dunia ini. Sanggupkah kita kehilangan satu kesenian yang kemungkinan besar akan diiktiraf sebagai khazanah seni negara, setaraf dengan Mak Yong dan kesenian sedunia yang lain?

4 comments:

Admin said...

di mana saya dapat hubungi pengamal teater budaya ni? sila coll sy jika ade cara untuk hubungi mereka.. 0177093600

blossomsakura said...

salam, saya nak menjalankan kajian mengenai Mek Mulung ni tapi saya tiada maklumat untuk menghubungi tokoh yabg berkaitan. Boleh bantu saya jika ada yang tahu? sila hubungi saya si 0132170769

Unknown said...

salam. saya berhasrat untuk menjalankan kajian mengenai mek mulung.. sesiapa yg tahu boleh hubungi saya 01116502009 utk saya temu ramah. terima kasih

Unknown said...

Info
Bertempat di wang tepus,kedah
Ketuanya ialah digelar abg mat