Tuesday, January 29, 2008

TEATER KELILING "PUTERI SAERAH"

Photobucket
photo courtesy of : Ardilla Annisa (Puteri Saerah)

Baru-baru ini, KREATIF UTAMA BUDAYA ANAK SENI (KUBAS) telah mengadakan siri persembahan di Kedah dan Terengganu. Membawa naskah "PUTERI SAERAH" karya Ruhie Isma bukanlah tugas mudah bagi Aznida Nur Azizan memandangkan hampir 90% pemain dan tenaga produksi adalah pendatang baru hasil dari Bengkel Latihan Hujung Tahun: Asas Lakonan Teater Tahun 2005.

Siri persembahan bermula di Taman Budaya Negeri Kedah pada tahun 2005. KUBAS tidak banyak masalah memandangkan tenaga pemain dan teknikal terdiri dari orang-orang lama KUBAS. Siri ke 2 bertempat di Dewan Tunku, Kuala Nerang dengan menampilkan barisan muka baru dalam produksi dan siri ke 3 di Taman Budaya Negeri Terengganu.

Sebelum ke Terengganu, KUBAS merancang untuk mengadakan dua persembahan berbeza oleh kerana Ruhie Isma telah menyiapkan sambungan kisah Puteri Saerah sebelumnya. Namun akibat kesuntukan masa dan kekurangan tenaga pemain, panel skrip KUBAS telah mengambil keputusan untuk menggabungkan kedua-dua skrip menjadi satu. Hasilnya amat memuaskan.

Encik Chua Tek Luwi telah membuat kenyataan peribadi kepada penggiat seni di Kedah bahawa KUBAS telah menampilkan sesuatu yang baru dalam persembahan di Kedah. Penataan cahaya, susunan lagu, koreografi gerak tari ( terima kasih Kak Ram KKJ Kedah), kostium dan set berjaya diadun menjadi satu konsep persembahan yang santai tapi menarik.

Beberapa aktivis teater Terengganu turut menyumbang tenaga sebagai pelakon jemputan KUBAS. Walaupun dalam masa yang singkat, Pelakon Terbaik Festival Teater Terengganu 2005 (lupa namanya) mampu membawa watak yang diberikan dengan sebaik mungkin. Terima kasih daun keladi dari Kedah Darul Aman.

Tahun 2008 ini mungkin akan menyaksikan beberapa siri persembahan dari KUBAS. Ada khabar-khabar angin mengatakan KUBAS dalam perancangan untuk mengadakan satu projek perdana pada tahun ini. InsyaAllah. Semoga perancangan kalian berjaya.

No comments: